Apa yang tersirat di sebalik konflik di Syria

Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

18 Jun 2013

Syria menghadapi arus perubahan musim bunga politik yang sedang berlaku di dunia Arab secara khusus. Tidak boleh dinafikan sedikitpun, kebangkitan yang menggolakkan arus perubahan itu disebabkan oleh tempoh pemerintahan yang lama tanpa kebebasan rakyat.

Pemerintahannya bersifat diktator bertopeng demokrasi, yang menekan rakyat dengan lesen yang diberi oleh kuasa-kuasa besar dunia diatas nama rakan strategik bagi keselamatan Israel yang dilindungi dengan cara paling istemewa, akhirnya tidak mampu membatalkan musim yang bertiup.

Syria mempunyai kedudukan yang agak berbeza dengan negara Arab yang lain, kerana tidak mengiktiraf Israel dan tidak mengadakan hubungan diplomatik dengannya.

Syria juga menjadi pintu keluar bagi negara Iran yang dikepung, dalam masa yang sama mengizinkan buminya menjadi pangkalan bagi gerakan Islam Hamas dan Jihad Islami, serta pangkalan bantuan bagi Hizbullah yang berada di Selatan Lubnan.

Hamas dan Jihad Islami bermazhab Sunni, tidak sama dengan Bashar Assad yang menganut mazhab Alawi. Begitu juga Republik Islam Iran dan Hizbullah yang bermazhab Syiah Imamiyyah yang bertentangan juga dengan mazhab yang dianut oleh Bashar dan keluarganya.

 
Diambil kira juga parti Baath yang menganut ideologi sosialis yang keras sehingga hampir sama dengan negara komunis dan juga berfahaman nasionalis fanatik yang keras terhadap Israel.Semua ini menunjukkan bahawa masing-masing lebih menjadikan rakan strategik bagi menghadapi musuh yang sama iaitu Israel.

Dalam masa yang sama, negara kuasa besar khususnya Amerika yang menjadi rakan strategik Israel akan melindungi negara haram tersebut daripada sebarang gerakan yang dianggap ancaman kepada keselamatan Israel khususnya dalam berdepan dengan Islam.
Kumpulan Hamas, Jihad dan Hizbullah adalah ancaman paling bahaya terhadap Israel dengan bantuan Iran secara terbuka. Ia diumumkan oleh pemimpin utamanya Imam Ali Khamanaei dalam khutbah jumaatnya yang terakhir, diikuti oleh lawatan rasmi ke Iran oleh Ismail Haniyyah, Perdana Menteri Palestin yang tidak diiktiraf oleh Barat dan sekutunya walaupun dipilih secara pilihanraya yang dipantau oleh pertubuhan antarabangsa.  Maka kesemuanya adalah ancaman besar terhadap negara Zionis itu.

Sebelum daripada perkembangan ini, tercetus perang di Selatan Lubnan dan selepasnya serangan terhadap Ghazzah. Kedua peristiwa percubaan Israel ini yang menyerang bagi menghapuskan ancaman terhadap negara haram itu menemui kegagalan yang memalukan.
Percubaannya gagal walaupun dengan bantuan negara-negara rakan Israel dan sokongan terbuka dan tersembunyi oleh negara-negara Arab yang bersahabat dengan Israel.

Kesemua negara Arab dan negara Islam itu menerima konsep Road Map tajaan kuasa besar yang bertanggungjawab menubuhkan Israel. Ia juga ekoran dicetuskan isu ancaman teknologi nuklear Iran, walaupun di atas tujuan perbekalan tenaga, bukannya persenjataan kerana diharamkan oleh agama Islam seperti dinyatakan oleh para pemimpinnya.

Sebaliknya Israel pula telah memiliki senjata nuklear sejak tahun enam puluhan lagi, dengan tidak menandatangani apa-apa perjanjian antarabangsa yang mencegahnya daripada melakukan sesuatu yang mengancam keamanan dan keselamatan dunia.

Sebarang tindakannya yang dikira menceroboh dan mengganas dengan nyata diselamatkan dengan kuasa veto oleh kuasa besar pelindungnya jika ada sebarang keputusan yang tidak berpihak kepadanya. Inilah dia undang-undang rimba yang diamalkan di peringkat antarabangsa iaitu siapa yang kuat dia selamat.

PAS bersama dengan parti Islam di seluruh dunia mengutuk segala kekejaman yang berlaku di Syria terhadap rakyatnya. PAS dan gerakan Islam bersetuju supaya kerajaan Syria menghentikan kekejaman terhadap rakyat.

Kami juga bersetuju supaya Syria didesak dan dipaksa membuat perubahan kepada demokrasi yang sebenar. Namun kami tidak bersetuju jika perubahan yang berlaku kerana hendak menyelamatkan negara haram Israel dan masuk ke dalam agenda Israel dan sekutunya.

Tujuannya bukan menyelamatkan Syria tetapi lebih daripada itu untuk menekan, melemah dan menghapuskan Hamas, Jihad Islami (daripada Sunni) dan Hizbullah serta Iran (daripada Syiah).

Pihak yang melawan kerajaan Syria pula melibatkan kumpulan Islam dan bukan Islam. Mereka dibekal dengan bermacam bantuan termasuk senjata dan ada yang diberi di atas nama Islam dengan agenda menegakkan kerajaan baru yang menyelamatkan Israel melalui gabungan kerjasama kumpulan Islam yang tidak kuat dengan kumpulan sekular yang berpangkalan di negara Barat yang lebih diperkuatkan supaya menguasai gerakan perubahan.

Media Israel melaporkan kenyataan pemimpin kerajaan dan tentera Israel bahawa mereka mahukan perubahan yang bukan berteraskan Islam yang lebih menyelamatkan Israel. Jika tidak maka Bashar Assad perlu diteruskan berkuasa pada tempatnya. Ini kerana perubahan yang memberi kemenangan kepada kumpulan Islam seperti di Mesir, Tunisia dan Libya lebih menjadi ancaman kepada keselamatan Israel.

Usaha mereka bukan sahaja menyekat ancaman terhadap Israel daripada utara dan selatannya, tetapi juga dilakukan bagi menghapuskan kekuatan Iran dan kemajuan teknologinya.

Beberapa bulan yang lalu media Barat mendedahkan perselisihan pendapat di kalangan Zionis Yahudi berhubung keperluan melancarkan serangan ke atas Iran seperti yang pernah dilakukan ke atas janakuasa tenaga nuklear Iraq di tahun 70-an di masa Saddam Husain.

Usaha juga dilakukan dengan menggunakan Iraq di zaman Saddam bagi menyerang Iran yang baru berjaya dalam Revolusi Islam menjatuhkan regim Shah yang pro Barat. Ada di kalangan mereka yang bersetuju supaya Iran diserang habis-habisan. Mereka ialah kalangan pelampau Zionis yang berada dalam negara haram Israel.

Ada juga yang tidak bersetuju Iran diserang. Mereka ialah kumpulan Zionis yang berada di Amerika dan Eropah. Mereka bimbang tindakan itu akan menyuburkan gerakan anti Zeonis dikalangan masyarakat barat apabila berlakunya krisis sampingan selepas serangan itu.

Bagi melaksanakan agenda yang nyata dan tersembunyi ini, maka sudah tentu Amerika dan sekutunya menjadi penyumbang besar bagi menjayakan cita-cita keselamatan negara haram Israel. Kepada mereka yang dapat membaca medan politik secara sepak terajangnya, bukan secara akademik sahaja, perlu difahami bahawa politik perlu dibaca dengan dua aspek iaitu akademik yang bersurat dan sepak terajang yang tersirat. Betapa agenda melagakan umat Islam yang pernah menjatuhkan kerajaan Othmaniyah di awal abad yang lalu sedang diulangi senarionya.

Pertama, umat Islam dilagakan dengan semangat kebangsaan masing-masing sehingga membantu musuh bagi menjatuhkan kerajaan Othmaniyyah di abad yang lalu tanpa menafikan adanya kezaliman dan kesilapan kerajaan Othmaniyyah terhadap wilayahnya. Semangat nasionalisme digunakan bagi menimbulkan kebencian Arab terhadap bangsa Turki yang menguasai kerajaan Islam dimasa itu.

Di atas semangat kebangsaan dengan bantuan yang melibatkan manusia seperti Lorans dan rakan-rakannya Arab dibantu untuk menentang Turki Otmaniyyah. Akhirnya Kerajaan Othmaniyyah dijatuhkan dan diberi tempat kepada Kamal Ataturk mendirikan kerajaan sekular menggantikan kerajaan Islam di atas nama memajukan Turki tetapi berakhir dengan bangsat.

Di kalangan bangsa Arab pula diupah dengan bahagian masing-masing mengikut road map Sykes Picot dengan membahagikan di kalangan negara Barat untuk menjaganya dengan upah mengangkut hasil bumi yang kaya. Manakala Arab pula dibayar dengan wang yang banyak supaya kaya-raya tanpa teknologi yang dapat menguatkannya sehingga dapat berdikari dan meninggalkan sifat Islamnya supaya tidak berakhlak, tetapi terus berlindung dengan negara-negara Barat tersebut.

Negara-negara Arab yang mendapat bahagian ini masih lagi menjadikan hari mendapat bahagian tersebut sebagai hari kebangsaan masing-masing yang disambut dengan meriahnya secara tahunan.

Yang kedua, melagakan umat dengan mazhab yang ramai pengikut. Pengikut Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang merupakan majoriti umat Islam dan menjadi mazhab kerajaan Othmaniyyah yang bermazhab Hanafi, dilagakan dengan mazhab Syiah Imamiyyah yang ramai penganutnya di Iran, Iraq dan Selatan Lubnan dan menjadi mazhab Shah Iran di masa itu. Mazhab Zaidiyyah yang sebahagian besar pengikutnya di Yaman dan juga menjadi mazhab raja yang bergelar Imam yang memerintah Yaman.

Ada pun Oman pula bermazhab Khawarij Ibadiyyah. Syah Iran dan Imam Yaman berperang dengan kerajaan Othmaniyyah. Oman pula menjadi pengkalan kuasa barat.

Malangnya dalam pergolakan yang berlaku di Syria dan perang yang masih dingin di antara Iran dan negara Barat dan sekutunya, isu nasionalisme dan mazhab dihidupkan semula. Dihidupkan semula galakan semangat nasionalisme di kalangan umat Islam sehingga meletakkan ajaran Islam yang boleh menyatukan umat dan akhlaknya yang mulia dilupakan.

Masalah khilafiyyah di kalangan mazhab Islam yang satu dihidupkan semula. Sepatutnya menjadi perbincangan di kalangan para ulama yang mendalami ilmunya sahaja, tetapi dihidupkan bukan sahaja diantara Sunni dan Syiah bahkan di antara Sunni dan Sunni. Ia disebarkan saperti salafi (wahabi) dan Asya’irah dan Maturidiyyah di kalangan Ahli Sunnah.

Masalah cabang ajaran agama yang berbeza di kalangan empat mazhab dan lain-lain dikalangan ahli sunnah dihidupkan kalangan masyarakat awam yang cetek pengatahuan agamanya. Syiah Imam Khomeini dan Khaminaei yang membuat perubahan politik daripada syiah tradisi di kalangan Syiah, diantara syiah Arab dan syiah Parsi di Iraq.

Di samping menyebarkan mazhab-mazhab ini di kalangan umat Islam yang masih jahil agama, bukannya menyebarkan dan menambahkan penyebaran Islam di kalangan bukan Islam. Semua ini adalah agenda laga dan perintah atau penjajahan semula yang sepatutnya difahami oleh umat Islam.

Dalam kemelut yang begitu celaru, umat Islam perlu kembali ke pangkal jalan, mengenali kawan dan lawan serta mengambil iktibar daripada kesalahan yang lalu. Para ulama dan pemimpin di zaman keemasan umat Islam bersatu dalam perkara rukun dan berbeza pendapat dalam masalah cabang sehingga tidak memisahkan hubungan persaudaraan agama dan kemanusiaan berbagai agama dan kaum dalam negara Islam yang luas dan besar.

Pandangan semua ulama dicatit menjadi kajian, termasuk pendapat paling lemah kerana keadaan situasi dan realiti yang boleh berubah. Kesilapan dalam perkara rukun diperbetulkan dengan kebijaksanaan.

Maka paling menariknya berlaku perkembangan Islam secara damai lebih pesat daripada ketika berperang. Allah mengajar penganut Islam di zaman Rasulullah S.A.W. supaya umat Islam bersatu di atas dasar dan konsep Islam serta menggunakan pendekatan damai dan strategik dengan masyarakat bukan Islam.

Walaupun Rasulullah S.A.W. sudah wafat dan para sahabat generasi awal Islam berbeza pendapat siapakah pengganti Rasulullah S.A.W. selepas wafatnya sehingga melahirkan mazhab Sunni, Syiah dan Khawarij. Namun mereka bersatu bersama para Khulafa Rasyidin R.A. dalam menghadapi cabaran dan menyebarkan Islam sehingga berjaya selama beberapa abad. Mereka yang jahil dan melampau disingkirkan daripada masyarakat umat yang besar.

Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berguru dan bersatu dengan Imam Jaafar al-Sodiq pelopor Syiah Imamiyyah yang beribukan salah seorang daripada zuriyat Abu Bakar Al Siddiq R.A. Semua para ulama yang berwibawa itu menentang kezaliman di zaman Umawiyyah dan Abbasiyyah dan mendokong sesiapa yang adil, seterusnya dakwah dan jihad diteruskan.

Adapun pertelingkahan yang tajam selepasnya, berlaku di kalangan para jahil daripada semua pihak. Langkah penubuhan Majma’ Fiqh di bawah OIC yang melibatkan para ulama daripada semua mazhab itu adalah sangat positif bagi umat Islam.

Begitu juga kenyataan dan fatwa pemimpin utama Iran Imam Ali Khaminaei supaya para pengikutnya berhenti daripada mencaci dan menghina para Ummahatul Mukminin (para isteri Rasulullah S.A.W.) yang bertaraf ibu kepada seluruh orang-orang yang beriman dengan perintah Al Quran secara nas dan berhenti menghina para sahabat R.A. Malah para ulama besarnya memaklumkan bahawa lebih daripada sembilan ribu hadith yang ada dalam kitab al-Kulaini yang menimbulkan masalah hendaklah ditolak.

Adapun langkah membiarkan kuasa asing yang dijemput menyelesaikan masalah hanya mengulangi sejarah lama yang wajib dilipat dan dikebumikan. Kalau mahu menghidupkan semula dalam pergolakan di Syria terkini akan terlaksana sejarah lama yang mengundang singa dan buaya. Natijahnya kalau selamat daripada mulut harimau akan masuk ke dalam mulut buaya.


* Penulis adalah anggota Parlimen Marang yang juga Presiden PAS. Tulisan ini disiarkan semula berdasarkan tulisan asal yang dibuat beliau pada
Khamis, 23 Februari 2012.

 

Leave a Comment

Filed under General, News

Semua perlu sertai Black505 22 Jun – Husam

 

KOTA BHARU: Para pimpinan PAS menggesa seluruh ahli dan penyokongnya agar turun ke Kuala Lumpur 22 Jun ini bagi menyertai perhimpunan terakhir Black505.

“Keputusan untuk menyertai himpunan ini bukan keputusan Husam Musa, bukan keputusan Haji Mohamad Sabu tetapi keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat untuk menyokong Blackout505,” kata Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa (gambar).

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa semua para pemuda agar jangan ragu untuk menyertainya.

“Andaikata kita terkorban, atau satu daripada kita terkorban, insya Allah ia adalah syahid fi sabillah,” tegas Husam Musa.
Tetapi, kata Husam, tidaklah menjadi niat PAS untuk terkorban dalam perhimpunan ini.

“Niat kita adalah penipuan pilihan raya mesti dihentikan dan sesiapa terlibat dengan penipuan ini mesti menerima tanggungjawabnya sekarang dalam sistem politik negara ini,” tegas Husam.

“Kita boleh redha dengan kekalahan kita tetapi kita tidak diizinkan untuk redha dengan penipuan dan maksiat.

“Ini dua perkara yang berbeza. Kita boleh terima hakikat takdir yang telah ditentukan tetapi kalau penipuan demi penipuan, tiap-tiap kali pilihan raya Umno menang hanya dengan penipuan, wajib kita orang Islam tegak berdiri menentangnya,” tegas beliau.

Menurut Husam, semua pihak dalam Pakatan Rakyat tidak boleh berdiam diri dengan penipuan yang dilakukan dalam pilihan raya umum lalu.

“Kalau kita berdiam diri kerana telah menang menguasai kerajaan (negeri), kita pengkhianat kepada perjuangan,” kata Husam.

Sehubungan itu beliau bersyukur kerana semua hadir dalam pertemuann yang diadakan ini termasuk wakil kerajaan negeri Kelantan iaitu Datuk Ahmad Yakob.

Beliau yakin undi yang diberikan oleh penyokong adalah untuk perjuangan bukan untuk mana-mana individu.

Husam juga menjelas, tujuan diadakan himpunan Black505 adalah untuk mencegah kemungkaran sebagaimana yang diminta oleh Allah.

Oleh itu, katanya, rakyat perlu bangkit menentangnya bagi memastikan penipuan tidak lagi berlaku dalam pilihan raya ke 14 dan 15 nanti.

Dalam ucapan itu juga, Husam berkata, tidak mustahil Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan dalam masa terdekat.

“Kalau pengerusi SPR tak nak letak jawatan, Najib kena letak jawatan. Kalau kedua-dua letak jawatan, Alhamdulillah, itu lagi baik.

“Atas sebab itu, tidak mustahil Najib letak jawatan,” tegas Husam.

Bagi beliau, dalam PRU 13 yang penuh dengan penipuan itu, orang yang paling kecewa adalah Najib kerana dengan perbelanjaan yang begitu besar, dengan penipuan yang diatur begitu rapi, kenangkitan rakyat melalui peti undi lebih besar dari yang dijangkakan.

“Kerana itu dia kecewa. Dalam politik moral, politik akhlak dan maruah, Datuk Seri Najib yang menang minoriti tidak layak untuk memimpin rakyat,” tegas beliau.

Atas dasar itulah, katanya, himpunan Blackout505 akan diadakan di Kuala Lumpur 22 Jun ini bagi menuntut perubahan di negara ini.

Leave a Comment

Filed under Election, General, News, PAS

DPPM sokong himpunan Black 505 diteruskan

dpmmjpg

 

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini menyatakan sokongan terhadap mana-mana badan yang menentang dan membantah penyelewengan pilihan raya umum.

Sokongan itu dinyatakan Ketua Pemudanya, Ustaz Nasrudin Hassan pada sidang media di Pusat Media PAS, Jalan Raja Laut, hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan sayap itu.

Nasrudin berkata, sokongan itu dinyatakan kerana pihaknya berpandangan pilihan raya perlu dilaksanakan dengan adil dan telus, tanpa sebarang penyelewengan dan salah laku.

“Kita menerima apa sahaja keputusan yang diputuskan rakyat jika pilihan raya itu dijalankan dengan adil dan tanpa salah laku. Kalah menang dalam pertandingan itu kita terima,” kata beliau kepada media.

Justeru, beliau menyatakan sokongan kepada himpunan Black 505 yang akan diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur, 22 Jun ini.

Sementara itu, menyentuh soal larangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggunakan Padang Merbok untuk perhimpunan pada tarikh tersebut, Nasrudin hanya menyerahkan kepada pihak penganjur.

“Kita serahkan kepada penganjur. Jika mereka meneruskan himpunan aman itu di situ, kita teruskan. Begitu juga jika mereka pinda tarikh atau sebagainya,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Pemuda PAS turut menumpukan perhatian khusus berhubung daftar pemilih dan undi awal bagi persiapan sayap itu menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Katanya, penumpuan itu akan diberikan bersama jawatankuasa postmortem
yang dibentuk Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS yang turut memberi input kepada jawatankuasa postmortem di peringkat pusat.

Sidang media itu turut disertai Timbalan Ketua Pemuda, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz, dan Setiausaha, Khairul Faizy Ahmad Kamil.

Leave a Comment

Filed under Election, News, PAS

60 petisyen cukup jelaskan p’raya tidak telus

KUALA LUMPUR: Jumlah 60 petisyen yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak iaitu Pakatan Rakyat dan BN cukup untuk membuktikan bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu dicabar dari sudut ketelusannya.

Ianya juga sekaligus mencabar kredibiliti kepimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengendalikan pilihan raya baru-baru ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, biarpun sukar untuk mendapat kemenangan dari petisyen yang telah dikemukakan, namun tindakan itu bagi PAS sekurang-kurangnya mahu menunjukkan bahawa pilihan raya lalu itu banyak kepincangan.

“Petisyen ini bukan satu perkara yang mudah untuk kita menang. Sebab itu saya tidak mahu membuat andaian melalui petisyen ini boleh berubah kerajaan.

“Petisyen ini, dalam sejarahnya sehingga kini tidak mudah untuk PAS menangi petisyen. Proses petisyen ini kita kemukakan paling kurang pun nak tunjukkan berlakunya rasuah, dan tidak telus dalam pilihan raya lalu.

“PAS ingin menunjukkan perjalanan pilihan raya ini tidak telus dan tidak adil. Sekurang-kurangnya PAS boleh buktikan itu walaupun mungkin kita tidak menang dalam satu-satu kes,” katanya dalam satu temubual dengan Harakah.

Untuk rekod, sehingga tempoh petisyen yang berakhir kelmarin, sebayak 60 petisyen telah dikemukakan.

Dari jumlah itu, 39 adalah dikemukakan oleh Pakatan Rakyat manakala 21 oleh BN.

Daripada jumlah 39 yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat itu pula, PAS mengemukakan 16 petisyen masing-masing empat parlimen dan 12 Dewan Undangan Negeri (Dun).

Mengulas tindakan BN yang turut mengemukakan petisyen, Mustafa berkata ianya sekaligus menunjukkan ada yang tidak betul dalam pengendalian pilihan raya oleh SPR.

“Ini juga menunjukkan banyak benda yang tidak betul dalam SPR ini sehingga menyebabkan banyak petisyen difailkan.

“Apabila BN juga mengemukakan bukti, mungkin mereka juga mahu menunjukkan rasa tidak berpuas hati,” katnya lagi.

Sehubungan itu katanya, maka sudah sampai masanya SPR secara keseluruhanya dirombak dengan diganti oleh kepimpinan baru yang lebih berintegriti dan diyakini oleh parti-parti politik yang bertanding.

Dalam keadaan sekarang ini jelasnya, pihak Pakatan Rakyat dan juga BN nampaknya sudah tidak lagi percaya dengan integriti SPR dan ianya boleh dilihat dengan jumlah petisyen yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

“Tuntutan Pakatan Rakyat agar pengendali SPR iaitu Pengerusi dan Timbalan Pengreusinya serta jawatankuasa SPR yang lain mesti meletak jawatan dan digantikan dengan individu yang baru, yang lebih berintegriti.

“Selama SPR tidak dibuat pembaharuan, kita akan terus menghadapi masalah. Ini bermakna SPR mesti dirombak dan diberi wajah baru,” katanya.

Leave a Comment

Filed under Election, General, Pakatan Rakyat, PAS

Sya’ban: antara hadis sahih, dhaif dan palsu

Dr Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman

13 Jun 2013

Bulan Sya’ban merupakan bulan yang mulia, terletak di tengah-tengah antara dua bulan yang mulia, iaitu bulan Rajab yang merupakan salah satu bulan haram dan bulan Ramadhan merupakan bulan yang diwajibkan umat Islam berpuasa padanya.

Bulan Sya’ban mempunyai beberapa kelebihan yang tersendiri sebagaimana yang disebut dalam hadis, namun banyak juga tersebar hadis yang dhaif atau maudhu’ (rekaan) tentang fadhilatnya, untuk menjelaskannya, risalah ringkas ini ditulis, semoga menjadi panduan dan peringatan buat kita semua.

Terdapat hadis-hadis yang menyebut Nabi SAW banyak berpuasa pada bulan Sya’ban. Kalau dikatakan, apakah hikmahnya memperbanyak berpuasa di bulan Sya’ban? Maka jawapannya adalah perkataan Al-Hafiz Ibn Hajar:

“Yang lebih tepat apa yang diriwayatkan oleh Nasa’i dan Abu Daud serta disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah dari Usamah bin Zaid, dia berkata, saya bertanya:

“Wahai Rasulullah, saya tidak melihat tuan (sering) berpuasa dalam satu bulan seperti tuan berpuasa di bulan Sya’ban?”

Baginda bersabda: “Itu adalah bulan yang kebanyakan orang melalaikannya iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Iaitu bulan yang di dalamnya di angkat amalan-amalan kepada Allah, Tuhan seluruh Alam. Maka aku ingin amalanku diangkat, sedang aku dalam keadaan berpuasa.” (Dinyatakan hasan dalam Sahih An-Nasa’i, no. 2221).

Adalah mendukacitakan, ramai yang tidak berdisiplin dalam memetik hadis-hadis Nabi SAW tanpa mengira kethabitan iaitu kepastian tentang ketulenan sesebuah hadis, juga tidak meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) para ulama hadis terhadap kedudukannya. Lebih teruk lagi jika terus disebarkan kepada masyarakat tanpa menjelaskan kedudukannya.

Dengan itu apa-apa sahaja yang mereka temui daripada buku bacaan, yang dikatakan hadis maka mereka terus sandarkan kepada Nabi SAW tanpa usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh baginda Nabi SAW dalam hadis yang yang diriwayatkan oleh Al-Mughirah bin Syu’bah:

“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim).

Perkara ini termasuk menyebut Nabi SAW bersabda sesuatu yang baginda tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang Baginda tidak pernah melakukannya.

Hadis palsu ialah: “Hadis yang disandarkan kepada Nabi SAW secara dusta, ia tidak ada hubungan dengan Nabi SAW.” (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi ‘Ulum al-Hadis, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu‘asarah, Beirut).

Bukan sahaja membuat hadis palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ia adalah hadis palsu juga adalah sesuatu yang haram.

Contohnya, apabila muncul bulan Rejab dan Sya’ban maka hadis-hadis palsu mengenainya akan dibaca dan diajar secara meluas. Ramai penceramah, imam, khatib dan media massa menyebarkan hadis palsu mengenai amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut.

Antaranya hadis: “Rejab bulan Allah, Sya’ban bulanku dan Ramadan bulan umatku.”

Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu dan malam Nisfu Sya’ban adalah dusta ke atas Nabi SAW (kesemuanya adalah PALSU).

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H): “Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah SAW”.

Sebenarnya hadis sahih mengenai kebaikan malam Nisfu Sya’ban itu memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu.

Kelebihan Khas Malam Nisfu Sya’ban

Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Sya’ban ialah:

“Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Sya’ban, maka Dia ampuni semua hamba-hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci-membenci) (HR Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain. Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh).

Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan daripada ajaran Nabi SAW.

Kata Dr Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Sya’ban:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi SAW dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.

Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan sunah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.

Perhimpunan (malam Nisfu Sya’ban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.

Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka”. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

Inilah kenyataan Dr Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang sederhana dan dihormati. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadis al-Azhar): “Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadis, sama ada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks hadis).”

Mereka hanya membaca hadis yang mereka hafal dan memetiknya tanpa mengetahui dan cuba memastikan kedudukan hadis tersebut.

Saya menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media elektronik dan cetak, bahkan semua pihak yang membaca sesuatu hadis memastikan kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Sya’ban tahun ini tidak dibaluti dengan pembohongan terhadap Nabi SAW.

HADIS-HADIS YANG LEMAH DAN PALSU TENTANG NISFU SYA’BAN

Berikut adalah beberapa contoh hadis-hadis lemah dan palsu tentang fadhilat malam Nisfu Sya’ban.

HADIS PERTAMA:

Daripada ‘Aisyah RA, dia berkata: “Pada suatu malam saya kehilangan Rasulullah SAW lalu saya keluar, ternyata baginda berada di Baqi’, lalu Rasulullah bersabda:

“Apakah kamu takut padahal Allah dan Rasul-Nya melindungimu?”

Saya (‘Aisyah) jawab: Ya Rasulullah, saya mengira engkau mendatangi sebahagian isterimu (yang lain).”

Baginda bersabda: “Sesungguhnya pada malam Nisfu Sya’ban Allah turun ke langit dunia lalu mengampuni lebih banyak dosa daripada banyaknya bulu kambing Bani Kalb.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad, Imam Tirmidzi. “Dhaif Jiddan”).

HADIS KEDUA:

Daripada ‘Ali bin Abi Talib RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda: “Jika datang malam Nisfu Sya’ban, maka bangunlah pada malam harinya (untuk bersolat) dan berpuasalah pada waktu siangnya. Sesungguhnya pada saat itu sejak tenggelamnya matahari, Allah turun ke langit dunia seraya berfirman: “Ketahuilah, sesiapa yang meminta keampunan, maka Aku akan mengampuninya dan ketahuilah sesiapa yang meminta rezeki maka Aku akan memberinya, ketahuilah sesiapa yang sakit maka aku akan menyihatkannya, ketahui sesiapa yang begini aku akan begitu hingga terbit matahari. (Hadis riwayat Ibnu Majah – “Maudhu”).

HADIS KETIGA:

“Wahai ‘Ali, sesiapa yang solat seratus rakaat pada malam Nisfu Sya’ban, pada setiap rakaat membaca surah al-Fatihah dan Qul huwallahu ahad 10 kali, Nabi SAW bersabda: “Ya ‘Ali, tidaklah seorang hamba yang solat seperti ini kecuali Allah akan memenuhi setiap setiap keinginan dan permintaanya pada malam itu…

Komentar: Hadis ini adalah maudhu’ (palsu) sebagaimana dinyatakan Ibn al-Jauzi di dalam al-Maudhu’aat, Ibn al Qayyim di dalam al-Manar al-Munif, al-Suyuthi di dalam al-Lali al-Masnu’ah.

HADIS KEEMPAT:

“Sesiapa solat 12 rakaat pada malam Nisfu Sya’ban dengan membaca pada setiap rakaatnya Qul huwallahu ahad 30 kali, tidak keluar hingga melihat tempat duduknya di syurga…”

Komentar: Hadis ini adalah maudhu’ (palsu) sebagaimana dinyatakan Ibn al-Jauzi di dalam al-Maudhu’aat, Ibn al Qayyim di dalam al-Manar al-Munif, al-Suyuthi di dalam al-Laali al-Masnu’ah.

Perhatian: Antara buku yang mengumpul hadis palsu tentang kelebihan bulan-bulan ialah buku: (Kelebihan Rejab, Sya`ban, Ramadhan, Ustaz Budiman Radhi).

Tukar Rekod Amalan:

Masyhur juga dalam kalangan masyarakat bahawa pada malam nisfu Sya’ban itu ditentukan (taqdir) apa yang akan terjadi tahun itu.

Ini adalah khabar yang batil. Malam penentuan takdir kejadian selama setahun itu ialah pada malam (Lailatul Qadar).

Allah Ta’ala berfirman, maksudnya:

“Ha mim. Demi Kitab (al-Qur’an) yang menjelaskan. Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (Surah ad-Dukhan : ayat 1-4)

Malam diturunkannya al-Qur’an adalah malam Lailatul Qadar. Allah Ta’ala berfirman, maksudnya:

“Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan.” (Surah al-Qadr : ayat 1).

Iaitu pada bulan Ramadhan, kerana Allah Ta’ala menurunkan al-Qur’an pada bulan itu.

Allah Ta’ala berfirman, maksudnya:

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Qur’an.” (Surah al-Baqarah : ayat 185].

Berkata Al-Hafiz Ibnu Kathir rahimahullah:

“Sesiapa yang mengatakan bahawa malam nisfu Sya’ban adalah waktu Allah Ta’ala menentukan apa yang akan terjadi dalam tahun itu, bererti dia telah menyalahi kandungan al-Qur’an.”

Leave a Comment

Filed under General

Petisyen PRU13: Pakatan Rakyat 39, BN 21

 

KUALA LUMPUR: Petisyen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang tempohnya berakhir semalam, menyaksikan sejumlah 60 petisyen difailkan sekaligus menjadi jumlah paling banyak dalam sejarah petisyen pilihan raya di negara ini.

Apa yang menarik, tindakan memfaikan petisyen yang biasanya hanya sinonim dengan pihak pembangkang, kali ini juga turut dikemukakan oleh BN.

Daripada jumlah keseluruhan 60 petisyen itu, 39 dikemukakan oleh Pakatan Rakyat manakala 21 lagi oleh BN.

Bagi Pakatan Rakyat, 39 petisyen tersebut adalah membabitkan 25 kerusi parlimen manakala 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Bagi BN pula, 21 kawasan yang terlibat adalah masing-masing enam parlimen dan 15 Dun.

Di Kedah, kawasan parlimen yang terbabit dengan petisyen adalah Merbok dan Kulim Bandar Baru yang dikemukakan oleh PKR, manakala tiada bagi kerusi Dun.

Di Kelantan perlimen terlibat adalah Ketereh yang dikemukakan oleh PAS, Machang (PKR), Bachok (BN), manakala bagi Dun pula, Kok Lanas (PAS), Selinsing (PAS), Ayer Lanas (PAS), Jelawat (BN), Mengkebang (BN), Gaal (BN) dan Manek Urai (BN).

Di Terengganu, tiada kerusi parlimen terlibat petisyen, tetapi kerusi Dun adalah Hulu Besut (PAS), Kuala Berang (PAS), Rantau Abang (BN) dan Teluk Pasu (BN).

Di Pahang juga tiada petisyen terlibat bagi kerusi parlimen, namun hanya satu bagi kerusi Dun iaitu Dun Cameron Highlands (DAP).

Bagi Pulau Pinang pula, parlimen terlibat adalah Balik Pulau (PKR) dan tiada petisyen bagi kerusi Dun.

Di Perak, parlimen terlibat adalah Tapah dan dua petisyen bagi Bagan Datok yang dikemukakan PKR, manakala bagi kerusi Dun adalah Selama, Rungkup, Manong, Pasir Panjang, Manjoi dan Lubok Merbau yang kesemuanya dikemukakan oleh PAS.

Bagi negeri Selangor, tiga kawasan parlimen terlibat iaitu Sabak Bernam (PKR), Sungai Besar (PAS), Kuala Selangor (PAS) manakala tiada petisyen bagi kawasan Dun.

Bagi Kuala Lumpur, parlimen terlibat adalah Setiawangsa (PKR), Titiwangsa (PAS), Lembah Pantai (BN) dan Parlimen Batu (BN).

Di Melaka, tiada petisyen yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat, manakala BN memfailkan dua petisyen iaitu bagi kerusi Parlimen Bukit Katil dan Dun Bukit Baru.

Bagi negeri Johor, parlimen terlibat adalah Pulai (PAS), Segamat (PKR), Ledang (PKR), Muar (PKR), Tebrau (PKR), Pasir Gudang (PKR), Labis (DAP), Batu Pahat (BN) manakala bagi Dun adalah Gambir (PAS), Mahkota (PAS), Nusajaya (PAS), Penggaram (BN), Parit Yani (BN), Stulang (BN) dan Puteri Wangsa (BN).

Di Sabah, parlimen terlibat adalah Kota Marudu (PKR), Beaufort (PKR) dan Pensiangan (PKR), manakala bagi Sarawak adalah parlimen Baram (PKR) dan Sarikei (BN).

Menurut Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan, jika terdapat mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan pilihan raya umum lalu, mereka boleh mengemukakan petisyen pilihan raya kepada Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa di tempat pilihan raya itu diadakan.

Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) pula memperuntuk tiap-tiap petisyen pilihan raya hendaklah dikemukakan dalam tempoh 21 hari dari tarikh keputusan dan penyata pengundian disiarkan dalam warta.

Tempoh 21 hari itu dianggap bermula pada 23 Mei lalu dan berakhir semalam.

Leave a Comment

Filed under Election, News, Pakatan Rakyat, PAS

Gerakan amal tarbawi wajib diperkasa

ketuapemuda

 

1. Sebagai sebuah Gerakan Islam, Amal Tarbawi menjadi tunjang kekuatan dan keutuhannya mendepani cabaran dan menyerap tekanan. Malah Amal Tarbawi melengkapi segala zat dan galian yang diperlukan oleh Gerakan Islam bagi menguatkan otot serta memperkasakan stamina guna menggalas berat beban perjuangan mendaulatkan Syariat Allah swt.

2. Tanpa Amal Tarbawi atau perlaksanaan Amal Tarbawi yang lemah serta tidak konsisten bakal mengundang 1001 masaalah dalaman yang mencetus konflik atau krisis. Besar kemungkinan bahawa segala konflik dan krisis dalaman itu berlarutan dan sukar pula diatasi ekoran dari lemah dan lembabnya perlaksanaan Amal Tarbawi.

3. Amal Tarbawi sangat berkait rapat dengan pengkaderan serta pembinaan aqidah, fikrah dan syakhsiyyah. Agar setiap anggota Gerakan Islam sama ada pemimpin atau ahli biasa, wakil rakyat atau staff pejabat memiliki skima pentarbiyyahan yang mantap dan lengkap.

4. Aqidah mereka aqidah yang tulen, fikrah mereka fikrah Islamiyyah dan syakhsiyah mereka pula adalah syakhsiyyah yang soleh. Inilah rahsia kekuatan Gerakan Islam sehingga ia mampu bertahan dalam menangkis dan mengelak serangan musuh yang bertubi arus dari segenap sudut.

5. Apabila Amal Tarbawi mula tidak diendah atau perlaksanaannya bersifat acuh tidak acuh lantaran memberi keutamaan kepada skil politik seperti penampilan imej, kenyataan media, penampilan di tengah-tengah kemelut masyarakat, mengupas dan menjuarai isu, enggagement dengan pelbagai pihak dan sebagainya lagi yang saya tidak nafikan kepentingannya, maka ia membawa implikasi yang besar dan sukar buat masa depan perjuangan.

6. Kita kelak mungkin dilihat hebat dan gah pada zahirnya dek penampilan dan penonjolan imej politik yang luar biasa tetapi individu anggota dan jamaah itu sendiri terdedah kepada hakisan nilai fundemental dan spiritual Harakah Islamiyyah.

7. Contoh mudah yang boleh saya ketengahkan ialah merosotnya nilai ukhuwwah fillah lantaran sejak lama dulu, usrah diabaikan, tamrin ditinggalkan , qiamulail dilupakan, ziarah diketepikan. Mungkin kerana kita nak beri tumpuan kepada ceramah umum, pertemuan-pertemuan politik dengan rakan saingan politik yang lain, hubungan dengan pihak media agar menyiarkan kenyataan politik kita, mesyuarat merangka strategi untuk saling mendahului antara satu sama lain terutama menjelang musim muktamar yang ada pemilihan kepimpinan.

8. Sedang usrah memberi peluang kita mempertaut hubungan atau ukhuwwah fillah di kalangan kita melalui bertanya khabar, makan setalam, bertentang mata, bahu membahu, sama-sama mengaminkan doa rabitah dan lain-lain elemen [di samping usrah menggarap fikrah melalui tasawwur Amal Islami yang jelas] yang mungkin kita lihat ianya kecil tetapi nilainya besar dalam mengukuhkan silah dan rabitah perjuangan antara anggota Gerakan Islam.

9. Tanpa usrah, tamrin dan lain – lain aktiviti Amal Tarbawi , dapat dilihat kesannya hari ini . Bermula dengan renggang hubungan antara anggota sesama anggota mahu pun anggota dengan pimpinan , ianya mengheret kita kepada suasana yang lebih sukar iaitu mudah berburuk sangka dan mudah tercetus pergeseran sesama sendiri hanya dengan sedikit khilaf atau isu kecil yang saya percaya ianya tidak akan mencetus pergeseran apalagi pertegkaran jika ukhuwwah diantara kita tebal dan kebal .

10. Sementara itu , tiada siapa yang boleh menafikan bahawa ukhuwwah sangat penting bagi sebuah Gerakan Islam . Ianya menguatkan benteng atau kubu perjuangan dari asakan musuh yang mahu memcahbelahkan saf kita , semangat kerja berpasukan , melancarkan orientasi gerakkerja yang dirancang , mengelak krisis dan perpecahan dalaman dan sebagainya .

11. Lebih bermakna jika perjuangan yang kita dokong ini bertunjangkan ukhuwwah fillah yang mantap lantas ia menghasilkan kemanisan berjuang dan kelazatan berjamaah . Kemanisan dan kelazatan ini bagai formula yang paling kental bagi mengelak berlakunya futur dalam perjuangan apalagi insiden keluar jamaah meninggalkan perjuangan atau pecah wala’ dan retak thiqah kepada pimpinan .

12. Itu baru kita bercakap soal ukhuwwah . Masih banyak lagi perkara lain yang juga penting seperti soal wala’ , thiqah , dengar dan taat , iltizam atau komitmen , istiqamah atau pro aktif , tadhiyyah atau pengorbanan dan banyak lagi , yang hanya mahu dihasilkan melalui Amal Tarbawi .

13. Kesimpulannya , adalah menjadi kewajipan kita di semua peringkat , cawangan , kawasan , negeri , pusat bahkan dewan – dewan untuk melihat semula isu Amal Tarbawi yang sedikit sebanyak mengalami gangguan perlaksanaannya masa kini .

14. Mudah untuk dikesan , saya sebutkan disini betapa jika kita cadangkan program bermalam seperti 2 hari satu malam atau lebih , akan ada pandangan yang menolaknya dengan alasan kalau kita buat program melibatkan aktiviti bermalam , bimbang penyertaan kurang atau program itu bakal tidak mendapat sambutan . Lebih parah , pandangan seperti ini mewakili ramai dikalangan ajk mesyuarat tersebut .

15. Aktiviti Amal Tarbawi tidaklah sekadar usrah dan tamrin justeru Tarbiyyah bukan suatu yang rigid . Kita boleh menampilkan apa jua bentuk aktiviti asal sahaja membawa kita ke arah pencapaian yang menepati piawaian sebuah Gerakan Islam dengan elemen – elemen yang saya sebutkan tadi .

16. Kreativiti dalam menganjurkan aktiviti agar tidak dilihat stereo type atau jumud dan sebagainya sangat diperlukan . Yang penting kita perkasakan Amal Tarbawi. Harap gesaan ini mendapat sambutan semua pihak organ parti atau jamaah.

17. Segala kelemahan jangan dibiarkan berlarutan kelak ia membarah. Segala kekurangan jangan dipandang sebelah mata kelak ia membusung. Segala masalah jangan dianggap remeh kelak ia meruncing.

Selamat memperkasakan Amal Tarbawi.

Nasrudin Hassan

Leave a Comment

Filed under General, PAS